Bermain permainan ini dengan bayi anda akan membantu mereka belajar dan membesar
1. Tunjuk dan Sebut
Bagi seorang bayi, segala-galanya menarik. Jadi perkenalkan dunia kepada mereka melalui aktiviti mudah ini.
Pegang suatu objek di hadapan bayi anda dan sebutkan apakah ia. Pastikan anda menambah sifat objek tersebut. Anda boleh berkata, “Ini epal. Warnanya merah dan ia bulat.’ Gunakan buah-buahan, barangan di dapur atau apa sahaja yang boleh ditemui di rumah. Anda akan terkejut betapa pantasnya si manja anda mengenali objek-objek tersebut dalam masa beberapa bulan akan datang.
2. Mainan Tekstur
Biarkan anak kecil anda belajar melalui pancaindera sentuhan mereka. Kumpulkan objek yang mempunyai tekstur berlainan seperti itik getah, mainan haiwan lembut, hamparan plastik, sehelai kain satin dan kertas pasir yang bersih. Pastikan objek-objek tersebut tidak mempunyai tepi yang tajam, terlalu sejuk atau panas, atau mempunyai tali yang longgar.
Letakkan objek tersebut di atas hamparan permainan si manja anda dan duduk bersama mereka, sebutkan perkataan seperti melekat, sejuk, lembut, licin atau kasar dan biarkan bayi anda bermain dengan setiap objek tersebut.
3. Menghidu Bau
Untuk tempoh beberapa bulan dalam hidup mereka, kebanyakan rangsangan pada bayi adalah penglihatan mereka. Tetapi dari 4-6 bulan, pancaindera bau mereka mula berkembang, jadi mulalah memperkenalkan kepada bayi anda pelbagai jenis bauan yang berbeza.
Pilih beberapa barangan yang ada di rumah anda, seperti buah epal, sabun mandi, wangian kegemaran anda dan krim cukuran ayah. Letakkan satu per satu di bawah hidung bayi anda, sambil menyebut, “Ini bau epal. Apa bau sabun? Sayang suka tak bau minyak wangi ibu?”
Jika bayi anda menunjukkan air muka yang kurang senang, jangan berikan kepadanya bauan tersebut sebentar.
4. Di Mana Badan Sayang?
Ini adalah pembaharuan daripada bermain sorok dan cari yang membantu si kecil belajar mengenali anggota dan mengenali dengan lebih mendalam tentang tubuh badan mereka.
Menggunakan sehelai kain kecil berwarna, tutup kepala bayi anda dan kata kepadanya, “Mana kepala sayang?” Selepas beberapa saat, angkat kain tersebut dan katakan, “Ini dia!”
Ulangi pada bahagian tubuh yang lain, turun ke bawah hingga ke kakinya. Uji anak anda dengan bertanya di manakah anggota badan tertentu selepas anda mengulangi permainan ini beberapa kali.
5. Sorok Tangan
Bantu si manja anda mengukuhkan kefahaman mereka bahawa banyak perkara tetap ada walaupun tidak kelihatan dengan bermain permainan meneka ini.
Tunjukkan bayi anda bahawa anda menyorokkan satu mainan atau objek di dalam tangan anda. Tutup dengan kedua-dua belah tangan di hadapan bayi anda dan minta dia meneka apakah objek tersebut. Anda boleh mengajar bayi anda dahulu atau menunjukkan dengan bantuan anak anda yang lebih tua.
Jangan lupa untuk menunjukkan keseronokan dan kegembiraan anda sama ada si kecil anda meneka dengan betul atau salah.
6. Kenal Warna
Satu lagi permainan yang boleh dimainkan apabila si manja anda faham bahawa semua perkara tetap ada walaupun tidak nampak di mata, ialah membantu mereka mengenali warna pelbagai objek.
Tampalkan kertas berwarna terang di atas kertas putih. Tunjukkan bahagian putih terlebih dahulu kepada bayi anda. Kemudian pusingkan kertas tersebut untuk menunjukkan bahagian berwarna pula (contoh biru) katakanlah kepadanya “Ini biru!” (Atau merah, atau hijau atau kuning).
7. Arahan Mudah
Berlatih arahan yang mudah akan membantu bayi anda mengembangkan pemikiran kognitif mereka.
Ambil tiga mainan yang berbeza dan letakkannya di atas hamparan permainan di antara anda dengan si kecil. Anda katakan kepadanya “Ibu akan ambil bola’” Kemudian ambillah bola tersebut. Katakan kepada si manja anda, “Sayang boleh ambil bola tak?” dan galakkan mereka mengambilnya. Tunjukkan sekali lagi jika mereka menghadapi kesukaran.
Berikan satu lagi arahan kepada bayi anda seperti “Cium anak patung”. Anda sendiri mencium anak patung dan galakkan bayi anda lakukan perkara yang sama.
Cubalah pelbagai bentuk arahan, seperti mengutip barangan, meletakkannya dan membawanya kepada anda. Sentiasa tunjukkan dahulu apa yang perlu dilakukan dan biarkan anak kecil anda pula melakukannya selepas itu. Ulangi arahan yang sama 2-3 kali untuk memantapkan ingatannya tentang kaitan antara perkataan dan tindakan. Jangan lupa untuk memuji si kecil anda setiap kali mereka berjaya.
8. Permainan Ingatan
Bantulah bayi anda menguatkan ingatannya melalui permainan mudah ini.
Letakkan 3-4 objek di hadapan anak anda dan berikan mereka beberapa minit untuk mengingatinya. Minta mereka menutup mata dan alihkan salah satu objek tersebut. Minta mereka sebutkan apakah objek yang tiada.
Anda juga boleh menyusun semula aturan objek tersebut dan minta mereka susun semula kepada kedudukan asalnya. Pelbagaikan warna dan bentuk objek tersebut setiap hari.
9. Sorok Dan Cari Bentuk
Berseronoklah mempelajari tentang bentuk dan warna dalam versi baharu permainan sorok dan cari.
Potong bentuk asas (segi tiga, segi empat sama, bulatan dan segi empat tepat) menggunakan kertas warna. Atau gunakan mainan plastik jika ada.
Sorokkan bentuk-bentuk tersebut di tempat yang mudah dicari dan minta si kecil anda mencari bentuk tersebut satu demi satu. Bantu anak anda mencari bentuk tersebut dengan berkata “Warna merah ada di bawah katil ke? Warna biru atas kerusi ke? Warna hijau bulat di bawa meja ke?” Pertanyaan ini akan menguatkan kefahaman si manja anda terhadap warna dan bentuk serta perkataan di luar, atas dan bawa.
10. Masa Diam
Dari saat kelahirannya, si kecil anda dihujani dengan pelbagai bentuk rangsangan. Tetapi kanak-kanak memerlukan masa senggang untuk berfikir dan belajar mengenai apa yang ada di sekitar mereka. Mereka perlu belajar bagaimana untuk duduk diam sebentar. Jadi anda boleh memperkenalkan masa diam dalam rutin si manja anda dengan memperuntukkan 15 hingga 30 minit untuk bayi anda diam.
Baca buku cerita kegemaran sambil duduk bersamanya. Mainkan VCD lagu-lagu berirama perlahan. Baring dengan si manja sambil melihat kipas angin siling berputar. Renung mata bayi anda dan senyum kepadanya. Pastikan bercakap, menyanyi atau mengalunkan rentak (humming) yang minimal.