Jangan percaya mitos penyusuan susu ibu yang tidak berasas ini dan terus berikan bayi anda susu ibu!
Terdapat banyak tanggapan salah mengenai penyusuan susu badan yang dipercayai oleh ibu baharu. Ini boleh mengakibatkan kadar penyusuan susu ibu menurun kerana lebih ramai ibu bertukar ke susu formula. Ketahui kebenaran mengenai mitos penyusuan susu badan/ibu dan mengapa anda tidak harus membiarkannya mempengaruhi pilihan anda untuk memberikan susu ibu kepada bayi anda.
1. Menyusui bayi adalah menyakitkan dan ini adalah normal.
Menyusui bayi pada mulanya mungkin tidak selesa tetapi ia tidak sepatutnya menyakitkan. Walaupun terdapat sedikit rasa sakit, ia adalah sementara dan sepatutnya hanya dialami untuk beberapa hari atau sehingga si ibu biasa dengan penyusuan susu ibu. Jika menyusui bayi sangat menyakitkan bagi anda, anda mungkin mengalami jangkitan atau bayi anda tidak menghisap susu dengan betul. Berbincang dengan pakar laktasi yang boleh mendiagnosis dan menyelesaikan masalah anda dengan cepat.
2. Bayi diberi susu ibu memerlukan lebih air terutama sekali dengan cuaca yang panas di Malaysia
Susu ibu mengandungi lebih daripada 87% air, jadi air tambahan tidak diperlukan. Berikan bayi anda lebih susu ibu pada hari-hari yang panas. Anda sememangnya tidak perlu menambahkan susu ibu dengan apa-apa lagi untuk tempoh enam bulan pertama.
3. Menyusu dengan puting terbalik adalah mustahil.
Oleh sebab puting terbalik tidak menonjol, penyusuan bayi mungkin sukar…tetapi tidak mustahil. Walaupun mendapatkan nasihat pakar laktasi di peringkat awal adalah yang terbaik, berikut adalah 3 perkara yang anda boleh lakukan sendiri untuk membantu diri anda.
1) Pegang puting anda dan gulingkannya di antara ibu jari dan jari telunjuk anda untuk 30 saat dan sentuhkannya dengan kain sejuk sebelum penyusuan.
2) Tarik areola anda ke belakang sebelum bayi anda menghisap puting anda.
3) Gunakan pelindung puting. Ia diperbuat daripada silikon nipis yang fleksibel serta mempunyai lubang pada hujungnya yang muat pada puting anda ketika penyusuan dan dapat membantu mengeluarkan puting terbalik.
4. Ibu yang mengambil ubat-ubatan tidak boleh menyusui bayi
Walaupun benar sesetengah ubat-ubatan tidak boleh diambil ketika anda sedang menyusui bayi, kerana ia boleh masuk ke susu ibu, tetapi masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah, iaitu dengan menukar ubat anda. Apa yang perlu anda buat hanyalah beritahu doktor yang anda sedang menyusui bayi dan tanya tentang pilihan yang paling selamat.
5. Susu Formula sama sahaja seperti susu ibu
Dalam banyak-banyak mitos penyusuan susu ibu, inilah yang paling hebat didebatkan. Namun, tiada satu susu formula yang boleh mengatasi atau sama dengan susu ibu yang mengandungi gabungan nutrien kompleks yang sempurna untuk bayi. Susu formula tidak mempunyai antibodi, enzim atau sel hidup yang membuatkan sistem imun bayi kuat.
6. Sesetengah wanita tidak menghasilkan susu yang mencukupi
Ini merupakan salah satu mitos yang paling popular berkaitan dengan penyusuan susu ibu, di mana para ibu yang mempunyai masalah pada awal penyusuan mempercayai. Ia adalah satu fakta bahawa wanita mampu menghasilkan susu yang lebih daripada mencukupi untuk bayi mereka. Walaubagaimanapun, anda perlu tahu bagaimana untuk melekapkan bayi anda dengan betul dan bagaimana hendak memperbetulkan lekapan yang tidak betul. Jika hasil susu anda tidak mencukupi walaupun dengan lekapan yang betul untuk apa jua sebab, anda boleh mencuba mengepam dengan pam susu untuk menambahkan hasil susu anda. Badan anda akan sentiasa menghasilkan susu yang mencukupi untuk bayi anda – tetapi kadang-kala ia memerlukan sedikit pertolongan.
7. Penyusuan susu ibu mengikat para ibu
Penyusuan susu ibu adalah lebih mudah daripada penyusuan susu formula. Anda tidak perlu mengangkut botol susu, susu formula dan air ke sana sini. Tiada apa-apa yang perlu disterilkan. Tidak kira di mana atau bila, bayi anda boleh diberi susu ibu. Walaupun anda akan pergi bekerja semula atau akan berjauhan dengan bayi anda pada masa yang tertentu, anda boleh mengepam terlebih dahulu dan simpan susu badan anda.
8. Ibu yang memberikan susu ibu tidak tahu jika bayinya mendapat susu yang mencukupi
Hanya kerana botol yang bertanda tidak digunakan ia tidak bermakna si ibu tidak mengetahui bila anaknya sudah mendapat susu badan yang mencukupi. Asalkan bayi anda yang menyusu membuang air besar dan kecil dengan konsisten dan berat badanya semakin naik, anda boleh yakin bayi anda mendapat susu ibu yang mencukupi.
9. “Saya mempunyai payudara yang kecil, saya tidak boleh menyusukan anak”
Saiz payudara anda tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan keupayaan anda menyusukan anak. Malahan, sesetengah wanita yang mempunyai payudara bersaiz kecil boleh juga menghasilkan susu yang lebih banyak daripada wanita yang mempunyai saiz payudara yang lebih besar!
10. Ibu yang sedang menyusukan anak perlu makan dengan banyak untuk sentiasa menghasilkan susu
Makan berlebihan tidak digalakkan ketika menyusui bayi. Mereka hanya perlu mengekalkan diet yang seimbang dan kenal tubuh mereka. Secara purata, seorang ibu yang sedang menyusui bayi memerlukan tambahan 300-500 kalori setiap hari lebih daripada apa yang diperlukan untuk mengekalkan berat pra-hamil . Bagi air pula, anda tidak perlulah memaksa diri untuk minum lebih dari kebiasaan. Dengar isyarat badan anda dan minum untuk menghilangkan kehausan anda.
Adakah anda tahu bahawa rata-rata bayi akan memerlukan 1057 perubahan lampin dalam 6 bulan pertama? Dapatkan promosi eksklusif dan sampel lampin percuma dengan menyertai Huggies Club sekarang!
Maklumat yang terkandung di dalam laman ini hanyalah untuk tujuan perkongsian informasi sahaja dan bukan sebagai gantian kepada nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan oleh pakar. Sentiasa dapatkan nasihat daripada doktor atau pembekal penjagaan kesihatan berkelayakan untuk sebarang persoalan berkenaan keadaan perubatan. Jangan berlengah untuk dapatkan nasihat perubatan, tidak mengendahkan nasihat perubatan atau berhenti mengambil rawatan perubatan disebabkan oleh maklumat di dalam laman ini. Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang, Kimberly-Clark tiada liabiliti atau bertanggungjawab untuk tuntutan, kesilapan atau pengabaian di dalam laman ini, dan boleh meminda material pada bila-bila masa tanpa sebarang notis.