Tahniah atas kehamilan anda! Tempoh sembilan bulan akan datang akan menyaksikan perubahan menakjubkan berlaku ketika anda bersedia menyambut kehadiran si manja anda. Ingatlah anda juga perlu meluangkan masa untuk memanjakan diri anda. Namun, adakalanya rengekan anak yang lain, masa atau kekangan kewangan boleh menyebabkan semua ini amat sukar dilakukan. Justeru, berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk memanjakan diri anda setiap bulan tanpa perlu berbelanja besar atau meluangkan terlalu banyak masa.
Bulan 1
Inilah masa yang mengujakan buat anda dan tubuh anda. Ia juga menyebabkan anda berasa loya dan letih. Jangan lupa untuk berehat secukupnya, Mandilah dengan air suam (bukan panas) dan campurkan minyak pati seperti gaharu, lavender dan ylang ylang. Minyak ini selamat digunakan semasa kehamilan dan digunakan untuk meredakan tekanan.
Urutan lembut juga boleh memberi kesan hebat semasa anda berasa letih dan tertekan. Ia akan membolehkan anda bertenang dan berehat dengan lebih mudah. Urutan semasa hamil adalah berbeza sama sekali daripada urutan biasa, kerana terdapat titik tekanan yang perlu dielakkan dan keadaan tubuh anda juga perlu dipertimbangkan.
Bulan 2
Rekahan pada kulit sering terjadi sepanjang tempoh kehamilan. Jika anda mengalami masalah jerawat sebelum mengandung, ia mungkin akan tumbuh dengan lebih banyak dalam tempoh ini. Tahap hormon anda tidak menentu menyebabkan jerawat tumbuh. Namun, berita baik adalah ia mungkin tamat selepas bulan-bulan awal kehamilan. Anda perlu kekalkan diet yang sihat, banyakkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran segar sebagai sebahagian daripada makanan harian anda. Di samping itu, amalan meminum banyak air sangat baik untuk hidrasi kulit. Adakalanya menambah setengah sudu sebuk penaik ke dalam pencuci muka anda boleh mengurangkan rasa sakit akibat jerawat. Untuk mengelakkan kulit terasa panas, lebih baik anda gunakan produk bebas bahan pewangi dan bebas minyak.
Bulan 3
Kesemua perubahan hormon boleh menyebabkan rambut anda kurang bermaya. Jika ini berlaku, rawatan mendalam mungkin merupakan pilihan yang terbaik. Anda boleh membeli produk ini di pasaraya. Melayan diri anda dengan memotong atau mewarna rambut juga boleh menggembirakan anda. Apa yang penting anda dan kandungan anda selamat.
Bulan 4
Ini adalah masa yang sesuai untuk melihat sebarang tanda regangan dan garisan yang tersebar pada kulit anda. Sehingga 90% wanita akan mempunyai kesan regangan pada kulit mereka disebabkan oleh kehamilan. Ia merupakan garisan berwarna merah keunguan atau seakan-akan perak pada tubuh anda, lazimnya pada perut dan payu dara anda. Anda perlu kekalkan senaman yang kerap dan tabiat makan yang sihat dapat membantu mengekalkan keanjalan kulit anda. Krim Lepaan Koko sering dicadangkan sebagai cara untuk mengekalkan kelembapan kulit anda dan membantu meredakan sebagai kemungkinan gatal kulit akibat regangan pada kulit anda. Tanda regangan ini biasanya akan hilang selepas kelahiran tetapi ia tidak akan hilang sepenuhnya.
Bulan 5
Sekarang, anda akan sukar untuk melihat kaki anda apatah lagi untuk merawatnya. Membasuh kaki adalah cara yang baik untuk anda relaks. Tuangkan beberapa titisan lavender ke dalam semangkuk air suam dan rendamkan kaki anda yang keletihan selama lima belas minit. Ini mungkin merupakan masa yang sesuai untuk memberi rawatan kepada kaki anda.
Bulan 6
Pakaian biasa anda mungkin tidak muat lagi. Mungkin ini masa yang sesuai untuk anda membeli beberapa helai pakaian ibu hamil yang cantik dan selesa. Carilah tawaran yang menarik di kedai atas talian. Bacalah artikel kami mengenai cara berpakaian semasa dan selepas hamil. Anda perlu memakai coli yang sesuai dengan tubuh anda yang semakin berubah.
Bulan 7
Kulit anda berkemungkinan akan berasa sedikit letih dan tegang pada masa ini. Untuk mengatasinya, cubalah kaedah mudah ini. Campurkan sesudu teh perahan limau dan sesudu teh minyak sayuran. Urutkannya pada mana-mana bahagian yang terasa kering, dengan memberi tumpuan kepada tangan, siku, dan tumit anda. Biarkan selama sepuluh hingga lima belas minit. Untuk menanggalkannya, basuh dengan air suam.
Bulan 8
Ini adalah masa yang sesai untuk memperingati perut hamil anda. Buat acuan mengikut bentuknya. Banyak alat sebegini yang dijual di kedai seni dan juga atas talian. Selain memperingati kehamilan, anda juga boleh menunjukkannya kepada bayi anda apabila dia besar nanti. Kami mempunyai pelbagai aktiviti menarik yang boleh anda dan keluarga anda lakukan untuk memperingati kehamilan ini.
Bulan 9
Bantal ibu mengandung adalah pelaburan yang baik sekarang. Ia bukan sahaja akan membantu perut anda, malah ia juga boleh anda gunakan selepas itu semasa menyusukan bayi anda.
Ketika sibuk bersedia menyambut ketibaan bayi anda selama sembilan bulan, anda juga perlu menjaga diri anda. Langkah-langkah mudah ini adalah cara yang cepat dan senang untuk memanjakan diri anda, semasa anda menyesuaikan diri dengan perubahan besar yang berlaku kepada diri dan juga hidup anda.