Walaupun anda kurang memberi perhatian terhadap kecantikan kulit anda, kehamilan mungkin mengubah segalanya. Wajah anda mungkin akan berubah sama sekali. Salur darah halus mungkin akan mula kelihatan di pipi dan dada anda. Anda akan berasa seperti kembali ke zaman remaja apabila jerawat tiba-tiba tumbuh. Ini bukannya imaginasi anda.
Perubahan keadaan kulit semasa hamil adalah biasa. Walaupun sebahagian besar daripadanya boleh dikategorikan sebagai ‘normal’, namun adalah lebih baik jika anda memahami apakah penyebabnya dan apa yang boleh dilakukan untuk menghadkan perubahan tersebut.
Apakah Penyebab Perubahan Kulit Semasa Hamil?
Secara umum, penyebab utama adalah hormon. Terutamanya ialah peningkatan oestrogen dan progesterone. Semasa hamil, ini merupakan hormon utama yang menyebabkan pelbagai perubahan untuk menyokong pertumbuhan bayi sehingga matang. Tahap dan kesannya tidak boleh dikawal atau diubah dalam cara tertentu oleh seseorang yang hamil.
Topeng Kehamilan
Nama lain bagi keadaan ini adalah ‘butterfly mask” kerana biasanya ia kelihatan seperti sayap rama-rama pada pipi, Ia juga mungkin merebak sehingga ke dahi, hidung dan dagu. Nama sebenar bagi topeng kehamilan ini adalah Chloasma dan berlaku disebabkan oleh peningkatan pengeluaran melanin di dalam lapisan dermal kulit.
Melanin bertanggungjawab ke atas warna kulit kita. Wanita berkulit lebih gelap atau kulit berwarna zaitun lebih berkemungkinan terkena Chloasma. Ramai wanita mendapati tahi lalat mereka juga menjadi lebih gelap semasa hamil, ini disebabkan oleh peningkatan pengeluaran Melanin. Tetapi anda perlu memantau sebarang perubahan warnanya dan juga bentuk umum tahi lalat tersebut. Untuk lebih selamat, lebih baik sekiranya anda bertanya kepada doktor.
Bagi sebahagian besar wanita. Chloasma akan beransur-ansur hilang dalam masa 3-6 bulan selepas bayi dilahirkan.
Rawatan
Tiada rawatan khusus bagi topeng kehamilan ini kerana seperti juga kebanyakan perubahan kulit semasa hamil, ia akan hilang apabila bayi dilahirkan dan tahap hormon ibu kembali seperti biasa.
Pakai topi lebar, sapukan krim menghalang cahaya matahari (sun block) dan elakkan diri daripada terdedah kepada matahari antara pukul 10 pagi – 3 petang. Jangan lupa bahawa matahari semasa musim sejuk juga mempunyai kesan seperti di musim panas.
Apakah Yang Lain Akan Menjadi Gelap Semasa Hamil?
Agak sukar dipastikan, tetapi ramai wanita yang kulitnya bertambah gelap pada: labia dan serviks. Tidak ramai yang menyedari bahawa serviks mahu pun labia mereka berubah warna, tetapi hormon menyebabkan semua perubahan tersebut.
Jeragat dan tahi lalat juga mungkin akan menjadi lebih gelap. Jika anda berasa bimbang apabila menyedari perubahan pada jeragat atau tahi lalat anda, pergi berjumpa doktor.
Anda mungkin perasan bahawa puting susu anda menjadi lebih gelap warnanya dan terdapat garisan yang timbul dari pusat hingga ke ari-ari anda. Ia dikenali sebagai Linea Nigra. Ia lazimnya timbul dalam trimester kedua, lebih kurang dari bulan keempat atau kelima. Pada mulanya anda mungkin menyangka bahawa ia adalah tanda kerana memakai pakaian atau seluar berwarna gelap atau perlu teliti semasa mandi. Tetapi, perlu diingatkan Linea Nigra tidak boleh dan tidak akan hilang jika dibasuh.
Seri Wajah Semasa Hamil
Kebanyakan wanita pernah mendengar tentang perkara ini, tetapi tidak dapat menerangkan apa ertinya yang sebenar. Semasa hamil, peredaran darah meningkat sebanyak 50% lebih daripada biasa. Ini akan menyebabkan wajah anda kelihatan lebih merah dan lebih kemerah-merahan. Faktor ini berserta dengan peningkatan pengeluaran minyak (sebum) menambahkan lagi serinya – sehingga ia digelar sebagai seri wajah semasa hamil. Walau bagaimanapun, ini merupakan istilah yang disukai dan dirasai positif oleh orang ramai apabila mereka tidak tahu apakah yang sebenarnya berlaku.
Jadi, jika seseorang mengatakan anda kelihatan berseri-seri, bergembiralah dan ucapkan terima kasih kepada mereka, kerana wajah anda benar-benar kelihatan berseri-seri.
Rawatan
Tiada rawatan khusus untuk seri wajah semasa hamil. Hakikatnya anda dan juga bayi anda perlukan pertambahan volum peredaran darah untuk memastikan oksigen yang cukup dan sihat. Bagaimana dengan minyak? Anda mungkin boleh cuba pembersih tanpa minyak dan jika kulit anda menjadi terlalu berminyak anda boleh pertimbangkan untuk menggunakan pelembap kulit.
Anda mungkin perlu menukar rutin dan juga produk pembersih/tona/pelembap walaupun anda telah lama menggunakan jenama tertentu .
Kesan Regangan
Kesan regangan disebabkan oleh kulit yang terkoyak kerana ia berkembang dengan pantas. Jalur kemerahan atau ungu biasanya kelihatan pada payu dara, pinggul, punggung, abdomen dan di mana jua kolagen dan fiber elastin kulit yang telah mengalami kerosakan.
Rawatan
Walaupun banyak krim dan losen menjanjikan hasil yang baik, namun ramai wanita yang mendapati kesan regangan pada kulit mereka hilang selepas tempoh tertentu melahirkan bayi. Terdapat rawatan berteknologi canggih dan menggunakan laser untuk menghilangkan kesan regangan kulit.
Banyak Rambut Tumbuh di Muka dan Tubuh
Bukan sesuatu yang luar biasa bagi wanita hamil mendapati bulu tumbuh di beberapa bahagian tubuh mereka. Di sekeliling puting susu, ari-ari dan ketiak serta betis. Jangan risau kerana ini satu lagi fenomena yang disebabkan oleh pengaruh hormon dan perubahan kulit semasa hamil.
Anda dapati keadaan ini akan kembali normal apabila bayi anda dilahirkan. Jika perlu, pertimbangkan untuk menggunakan wax, mencabut, mencukur atau menjalani rawatan am jika anda berasa tidak selesa.
Kutil Kulit
Sehingga anda hamil, kutil mungkin hanya dikaitkan dengan golongan yang sudah berusia lanjut. Malahan, mempunyai ‘bintik’ tambahan pada kulit mungkin agak menjijikkan. Tetapi jangan bimbang, seperti juga perubahan kulit lain semasa hamil, kutil pada kulit juga salah satu daripada perubahan tersebut.
Jika anda ingin juga mengetahui apakah ia, inilah deskripsinya. Kutil adalah bintik kecil pada kulit yang melekat pada kulit. Ia berukuran lebih kurang biji beras dan berwarna merah samar atau ada kalanya coklat. Ia tidak berbahaya dan tidak menyakitkan – tetapi kutil kulit boleh mengganggu dan menyebabkan ketidakselesaan khususnya jika ia tumbuh di bawah tali coli di kawasan rekahan. Ia biasanya timbul di sekitar ketiak dan di bawah payudara.
Rawatan Kutil
Jangan terlalu cepat untuk membuang kutil pada kulit ada. Kebanyakan wanita, ia akan hilang sendiri tanpa sebarang rawatan khusus tetapi anda perlu menunggu sehingga bayi dilahirkan. Jika tidak, dapatkan nasihat doktor untuk mengikat atau melakukan pembedahan dengan cara pembakaran (diathermied).
Elakkan daripada menggunakan sebarang produk kimia atau berasaskan tumbuhan untuk membuang ketuat atau kutil – yang disyorkan oleh banyak pihak semasa hamil. Jika kutil benar-benar mengganggu anda, dapatkan bantuan penyedia perkhidmatan materniti untuk mengikatnya. Ini merupakan prosedur mudah yang menggunakan kapas (atau seumpamanya) diikat kemas pada pangkal kutil supaya edaran ‘pemakanannya’ dihentikan. Selepas beberapa hari anda akan dapati kutil tersebut akan susut dan tanggal sendiri.
Pilihan lain adalah membekukannyaatau menggunakan kompaun berasaskan kimia. Tetapi ini hanya boleh dilakukan selepas bayi dilahirkan dan jika dicadangkan serta diawasi oleh doktor bertauliah.
Jerawat dan Jerawat Batu
Walaupun pengeluaran sebum berlebihan menaikkan ‘seri wajah’ wanita hamil, namun ia juga menjadi penyebab jerawat tumbuh. Bak kata pepatah ‘usaha sejengkal boleh menjadi sehasta’ amat sesuai dengan sebum di mana usaha yang kecil mungkin akan memperoleh hasil yang baik. Perubahan kulit semasa hamil bukannya sentiasa tidak disukai kerana ketika inilah jerawat dan jerawat batu mengambil tempatnya.
Jika anda terasa seperti kembali ke zaman remaja, anda bukanlah wanita pertama yang mengalaminya. Sekali lagi, jerawat anda disebabkan oleh hormon kehamilan. Peningkatan dalam oestrogen dan progesterone menyebabkan pengeluaran sebum lebih aktif yang menyekat liang roma. Bakal ibu yang teliti dalam kebersihan diri juga tidak mungkin terlepas daripada keadaan ini dan perlu berhati-hati merawat keadaan ini.
Rawatan bagi Jerawat dan Jerawat Batu
Sesetengah krim pembersih topikal dan jerawat dilarang penggunaannya semasa hamil, jadi anda perlu berhati-hati dan membaca syor pengilang sebelum menggunakannya secara spesifik.
Pembersih yang lembut mungkin sesuai oleh itu gunakan produk dengan pH yang sesuai dengan keseimbangan biasa kulit (dari 4.0-7.0)
Elakkan daripada mencungkil, memicit, atau mengusap-usap bahagian tersebut kerana ini akan mengakibatkan jangkitan dan akhirnya, berparut. Anda mungkin boleh gunakan basuhan pengelupasan semasa mandi dua kali seminggu dan pelembap bebas minyak yang tidak menyumbat liang roma.
Anda juga mungkin akan mendapati jerawat serta bintik hitam tumbuh pada dada, belakang dan atas lengan anda. Cuba gunakan loofah atau berus badan untuk membersihkan liang roma dan membebaskannya daripada halangan sebum. Selain itu, gunakanlah alat solek muka yang bebas minyak atau jika boleh, jangan gunakannya sama sekali. Semakin kurang anda menyumbat liang roma anda, semakin baik.
Ada segelintir wanita hamil yang mengalami keadaan yang dikenali sebagai Pruritic Urticarial Papules and Plaques of Pregnancy, yang juga dikenali sebagai PUPP. Ia bersifat sangat gatal dan merah, menyebabkan benjolan pada abdomen, peha, punggung, tangan dan betis. Ia mungkin berlaku semasa kehamilan memasuki separuh kedua tetapi, seperti kebanyakan keadaan kulit lain, ia akan hilang apabila bayi dilahirkan.
Peringatan – losyen dan krim jerawat batu yang mengandungi Retinolds atau Retinols (Vitamin A) tidak disyorkan penggunaannya semasa hamil. Dapatkan nasihat daripada penyedia perkhidmatan materniti dan/atau pakar farmasi anda sebelum menggunakan sebarang krim rawatan jerawat batu.
Tapak Tangan dan Tapak Kaki Kemerahan
Anda mungkin terkejut dengan muslihat kuno yang digunakan oleh tukang tilik kerana boleh mengesan kehamilan dari peringkat awal lagi. Ini bukanlah kebolehan meramal masa depan tetapi hanya dengan melihat garisan merah pada tapak tangan si ibu. Salur darah yang mengembang juga berlaku pada tapak kaki tetapi ia tidak berpanjangan melebihi trimester pertama.
Kulit Kering Semasa Hamil
Walaupun biasanya wanita hamil mengalami peningkatan pengeluaran minyak kulit mereka, namun sesetengah mereka tidak begitu. Kulit mereka menjadi kering dan hampir tidak terdapat lembapan menyebabkannya berasa gatal dan tidak selesa.
Rawatan Kulit Kering Semasa Hamil
Tiada rahsia penyelesaian bagi masalah ini; hanya lembapan, lembapan dan lembapan. Masa terbaik untuk melakukannya adalah semasa kulit anda masih panas dan lembap sedikit selepas mandi. Kebanyakan pelembap berfungsi mengekalkan lembapan kulit di dalam sel dan menghadkan kehilangan air melalui pemeluwapan.
Anda mempunyai pelbagai pilihan, namun yang penting adalah hampir semua pelembap mempunyai fungsi yang sama.
Bagi wanita yang mengalami eczema, kehamilan boleh menambahkan lagi simptomnya. Kulit yang menjadi kemerahan, kering, gatal dan bersisik perlukan lebih perhatian bagi penggunaan krim pelembap dan krim kortison khusus.
Elakkan mandi pancuran air panas dengan lama dan memakai pakaian fiber tiruan. Duduk di hadapan alat pemanas dan keadaan katil yang terlalu panas juga boleh memburukkan lagi simptom ekzema. Cara terbaik untuk mengelakkan timbulnya ekzema adalah dengan sentiasa mengekalkan keselesaan dan hidrasi kulit.
Kulit Sensitif
Anda mungkin tidak pernah menghadapi masalah reaksi kulit sehingga anda hamil. Tetapi kini anda mungkin mendapati kulit anda bertindak balas terhadap sabun, pelembap, deodoran dan mungkin syampu dan pelembut rambut biasa anda. Perubahan ini umumnya disebabkan oleh pengaruh hormon, tetapi tiada siapa yang boleh memberi jawapan yang tepat mengapakah hanya sesetengah wanita sahaja mengalaminya.
Ada kalanya perfum dan bahan pengawet, warna dan pewarna menjadi penyebab utamanya. Jadi, jika anda mengalami kulit sensitif, pastikan anda mengambil langkah mudah dalam rutin pembersihan dan pelembapan harian kulit anda ringkas dan lembut.
Apakah Yang Anda Boleh Lakukan Mengenai Perubahan Kulit Semasa Hamil
-
Yakinlah bahawa hampir kesemua perubahan kulit akan selesai selepas bayi dilahirkan.
-
Berhati-hati dengan rawatan dan jika ada sebarang keraguan, dapatkan nasihat doktor atau farmasi anda. Bacalah label, dan buat penyelidikan sendiri sehingga anda berpuas hati bahawa keputusan yang di buat adalah tepat.
-
Jangan bandingkan kehamilan anda dengan ibu-ibu lain. Setiap wanita hamil adalah unik.
-
Amalkanlah diet yang sihat dan minum banyak air. Gabungan ini sentiasa membantu masalah berkaitan kulit. Memastikan hidrasi kulit akan menyihatkan sel kulit dan menjadikannya kelihatan lebih cantik.
-
Tambah pengambilan pati asid lemak yang ditemui di dalam minyak ikan, avocado, minyak zaitun dan buah-buahan serta sayuran segar.