Neuron (sel saraf) yang terhubung awal di dalam otak bayi akan berkembang lebih pesat ketika lahir, dan akan lengkap berfungsi untuk menerima rangsangan. Disebabkan mengguna tenaga yang banyak dalam minggu pertama selepas lahir, berat bayi akan susut. Tetapi selepas dua minggu, berat akan mula bertambah semula.
Bayi akan kurang bergerak kerana ruang semakin berkurangan berbanding dua minggu yang lalu. Kalau anda perasan anda perubahan pada corak pergerakan atau bayi terlalu senyap dari biasa, sila rujuk dengan pakar obstetrik. Jangan risau pandangan orang lain kerana lebih tahu dan paling arif tentang aktiviti bayi sepanjang kehamilan.
Kalau bayi anda masih berada dalam posisi punggung di bawah sampai sekarang, harap-harap minggu ini kedudukan akan berubah dengan kepala menghala ke bawah. Anda pasti rasa selesa bila kepala yang bujur dah keras tidak lagi berada di bawah rusuk. Kedudukan sefalik, atau kepala dahulu adalah posisi terbaik untuk bersalin.
Dalam minggu ini kolostrum boleh meleleh keluar dari puting anda. Biasanya akan ada kesan kering dan berkerak pada puting bila anda buka baju dalam. Pastikan juga anda pakai saiz bra kehamilan yang betul dan selesa kerana payu dara akan bertambah saiz dan timbul garisan biru.
Jumlah cecair amnion yang mengelilingi bayi di dalam perut akan sampai kemuncak dan mula berkurangan dari sekarang. Cecair yang dipanggil air ketuban ini mempunyai baru tersendiri dan berbeza dari air kencing. Pada peringkat kehamilan ini, ramai ibu keliru untuk membezakan air kencing atau cecair amnion yang meleleh keluar. Hubungi pakar obstetrik kalau anda ragu-ragu bila air ketuban sudah pecah.
Kalau berkesempatan, ini adalah masa yang sesuai untuk menghadiri kelas penyusuan susu ibu. Melihat cara-cara menghalakan mulut bayi ke payu dara adalah berbeza dengan hanya membaca tentangnya.
Sedia helaian plastik untuk dilapikkan di atas tilam kerana ia boleh memudahkan urusan anda kalau air ketuban pecah ketika anda di atas katil. Sediakan juga tuala di dalam kereta sekiranya berlaku kecemasan. Biasanya bila kepala masih berada di posisi tinggi ketika air ketuban pecah, lebih banyak cecair akan keluar berbanding posisi kepala bayi di bahagian tulang pelvis.
Rancang pelan bersalin seawal yang boleh atau lebih ideal dalam minggu ini. Fikir masak-masak tentang kaedah bersalin dan siapa yang anda mahu berada dengan anda ketika bersalin. Tetapi ingat, tiada gerenti pilihan anda diutamakan kerana semua bergantung pada kesihatan anda dan kandungan anda.