Hampir kesemua nasihat mengenai rawatan dan proses menghilangkan tanda regangan menekankan tentang manfaat pencegahan di peringkat awal. Namun jika anda salah seorang daripada ramai wanita yang telah melakukan segala yang termampu semasa kehamilan tetapi masih mendapat tanda regangan, jangan putus asa.
Tanda regangan adalah sesuatu yang biasa dialami semasa kehamilan sehingga ia dianggap normal dan kesan yang hampir tidak dapat dielakkan.
Walaupun tanda regangan kelihatan tidak menarik, namun secara jujur, itulah sahaja keburukannya. Ia tidak mengakibatkan sebarang masalah terhadap kesihatan dan kesejahteraan secara umum. Semasa ia mula-mula terbentuk, kesan regangan akan kelihatan agak melebar, berlekuk-lekuk, berwarna merah malah ada kalanya ungu, tetapi lama-kelamaan biasanya ia akan menghilang sehingga hampir tidak kelihatan.
Apa yang Boleh Membantu Menghilangkan Tanda Regangan?
Pelembap boleh membantu. Sebarang losen emolien boleh membantu melembapkan dan meningkatkan keanjalan kulit. Sungguhpun krim dan losen tidak boleh menyerap ke lapisan (kulit) lebih dalam di mana tanda regangan sebenarnya terbentuk, namun ia boleh membantu mengekalkan dan mengembalikan kandungan lembapan dalam lapisan kulit epidermis (luaran).
Pelembap turut memberi manfaat visual kepada kulit dengan membantu kulit kelihatan lebih tegang, bersinar dan licin. Pada masa ini, ramai yang percaya bahawa penggunaan losen pada tanda regangan baharu lebih mendatangkan kesan berbanding apabila ia mula hilang.
Biarkan sahaja?
Jangan risau, sungguhpun kelihatan begitu ketara semasa mula terbentuk, lama-kelamaan tanda regangan akan beransur-ansur hilang. Malangnya tanda regangan lebih mudah terbentuk di kalangan sesetengah wanita, terutamanya jika mereka mempunyai kecenderungan genetik dalam keluarga.
Tanda regangan juga berkemungkinan besar akan terbentuk di kalangan wanita yang mengalami pertambahan besar berat badan semasa hamil, mengandungkan bayi kembar atau banyak cecair dalam kandungan.
Jika anda membiarkannya dan hanya memerhatikan tanda regangan tersebut, anda akan dapati bahawa garisan merah/ungu berkenaan akan beransur-ansur pudar dan bertukar ke warna perak/putih dan menjadi rata. Ia juga akan menjadi kurang tegang dan terbuka, malah berasa lebih halus dan lembut apabila disentuh. Bersabarlah, kerana walaupun proses ini mengambil masa beberapa tahun, ia pasti akan berlaku.
Jika anda merasa bimbang terhadap penampilan tanda regangan anda dan terlalu memikirkan tentangnya, adalah lebih baik untuk anda mendapatkan nasihat doktor. Ada sesetengah wanita merasakan bahawa ketenteraman emosi dan mental mereka akan terganggu apabila penampilan fizikal mereka tidak seperti yang mereka kehendaki. Mendapatkan bantuan perubatan boleh memberi manfaat besar dari segi mengurangkan ketaranya tanda regangan. Pilihan rawatan juga boleh dibincangkan, jika perlu.
Pemulihan Semula Jadi bagi Tanda Regangan
Hasilkan ramuan pelembap anda sendiri menggunakan campuran minyak zaitun, badam atau kelapa. Gunakan sedikit minyak pati haruman seperti lavender, mawar atau geranium untuk mengurangkan bau sayuran pada sebatian minyak utama. Anda tidak memerlukan kuantiti yang banyak, terutamanya jika anda menggosok minyak tersebut pada tangan sehingga terasa panas sebelum disapu. Rujuk cara urutan kehamilan untuk mendapatkan maklumat yang lebih khusus.
Krim Vitamin E telah terbukti dapat memberi kesan positif dalam mengurangkan tanda regangan. Dapatkan krim pelembap yang ditambah dengan Vitamin E atau sebagai alternatif, gunakan kapsul Vitamin E. Kemujaraban Vitamin E akan mula berkurangan apabila terdedah dengan udara. Oleh itu, bocorkan kapsul hanya apabila anda bersedia untuk menyapu kandungannya pada kulit.
Satu lagi produk baharu yang semakin popular ialah Minyak Telur. Minyak telur diperbuat daripada kuning telur yang secara semula jadi kaya dengan protein, Omega 3 dan trigliserida. Ia dikatakan berkesan untuk memberi khasiat kepada kulit dan membantu pemulihan selular. Anda perlu mencuba sendiri bagi mengetahui keberkesanannya untuk anda. Walau bagaimanapun, ia tidak disyorkan jika anda mempunyai alahan kepada telur.
Bio Oil adalah suatu produk yang terbukti secara klinikal mampu mengurangkan tanda regangan dan membantu menghilangkannya. Ia telah lama diperkenalkan dan digunakan oleh ribuan wanita dengan hasil positif.
Retin-A
Ia adalah suatu bentuk Vitamin A. Nama lain bagi Retin-A adalah Tretinoin. Terdapat pelbagai jenis krim yang mengandungi Retin-A yang di pasar menggunakan pelbagai nama dagangan atau generik. Mengikut undang-undang, pengilang mesti menyatakan dengan jelas kandungan produk pada label. Retin-A juga boleh didapati dalam kepekatan yang berlainan; lebih pekat kandungan Retin-A lebih tinggi keberkesanannya, tetapi begitu juga dengan risiko kesan sampingannya.
Bagaimana Retin-A bertindak?
Ia membantu memperbaharui kulit melalui pelbagai cara dengan merangsang pengeluaran kolagen dan tukar ganti sel, serta membantu meregang dan mengurangkan kekoyakan kulit. Kegunaan lain Retin-A adalah untuk rawatan jerawat, garis-garis halus dan kedutan serta warna kulit yang kusam.
Ia boleh didapati secara amnya melalui preskripsi doktor. Walau bagaimanapun, Retin-A berkepekatan rendah juga terkandung dalam beberapa jenis pelembap dan krim kulit yang boleh dibeli di kaunter.
Fakta Berguna yang Perlu Diketahui mengenai Retin-A?
-
Retin-A boleh didapati dalam bentuk krim.
-
Retin –A lebih berkesan digunakan pada tanda regangan baharu berbanding yang telah lama.
-
Elak daripada terdedah kepada sinaran matahari jika menggunakan Retin A.
-
Basuh tangan selepas menggunakan krim yang mengandungi Retin-A.
Amaran tentang Penggunaan Retin-A
Anda tidak boleh menggunakan Retin-A jika anda hamil atau menyusu badan. Ia turut dikaitkan dengan kecacatan kelahiran dan komplikasi-komplikasi lain. Baca label sebarang produk yang ingin anda gunakan terlebih dahulu dan bincang dengan doktor dan/atau ahli farmasi jika anda tidak pasti tentang keselamatan produk.
Asid Glikolik
Produk ini mengandungi AHA – Asid Hidroksi Alfa. Asid Glikolik yang digunakan dalam bentuk krim dapat membantu menyokong penghasilan kolagen dan keanjalan kulit. Kolagen bertindak seakan rangkaian jambatan yang menghubungkan sel-sel kulit antara satu sama lain. Tidak seperti Retin-A, asid Glikolik dianggap selamat untuk digunakan semasa hamil dan sepanjang tempoh penyusuan badan. Banyak rawatan penjagaan kulit, serum dan pelembap yang mengandungi asid Glikolik dalam pelbagai kepekatan.
Sesetengah pakar dermatologi mengesyorkan kombinasi Retin-A dan asid Glikolik kerana campuran tersebut dianggap dapat memberikan dua manfaat sekali gus.
Vitamin C
Vitamin C adalah pilihan pencegahan yang popular untuk pelbagai isu kesihatan. Dakwaan tentang manfaatnya rata-rata lebih berasaskan tanggapan umum dan bukan sains. Walau bagaimanapun, memang terdapat bukti bahawa suplemen Vitamin C boleh membantu mencegah tanda regangan dan menyokong pemulihannya.
Berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi anda jika anda cenderung untuk mengambil suplemen Vitamin C secara oral. Walaupun Vitamin C yang berlebihan tidak disimpan di dalam tubuh dan akan dikeluarkan melalui air kencing, namun adalah tidak wajar untuk mengambil vitamin dan mineral tambahan yang tidak diperlukan.
Rawatan Laser bagi Tanda Regangan
Terdapat pelbagai rawatan pilihan untuk terapi laser. Penyelidikan terkini dalam penggunaan laser menunjukkan bahawa, teknologi rawatan tercanggih beberapa tahun lalu telah pun diganti dengan teknologi yang lebih berkesan dan kurang invasif.
Pulsed Dye Laser
Nama lain bagi rawatan laser ini adalah laser vaskular yang bertindak menerusi satu mekanisma denyutan di mana cahaya laser yang kuat akan dihalakan kepada tanda regangan dalam jangka masa yang ditentukan dengan teliti. Masa terbaik untuk mendapatkan rawatan pulsed dye laser adalah sewaktu tanda regangan masih berwarna merah iaitu sebelum ia beransur pudar menjadi putih keperakan.
Jika anda berkulit lebih gelap, pulsed dye laser adalah rawatan yang dianggap tidak efektif bagi anda. Perbezaan yang lebih besar antara warna tanda regangan dan kulit di sekitarnya akan menghasilkan kesan rawatan pulsed dye laser yang lebih ketara.
Rawatan Laser Berperingkat
Bentuk laser ini dianggap paling berkesan ke atas tanda regangan lama yang telah hilang warna kemerahan yang muncul di peringkat awal. Laser berperingkat membantu menaikkan dan mengurangkan kedalaman lekuk pada kulit akibat tanda regangan supaya ia selari dan sama rata dengan kulit di sekelilingnya.
Rawatan laser berperingkat juga bertindak meningkatkan kolagen dan gentian elastin dalam kulit. Satu kesan sampingan daripada bentuk rawatan meratakan kulit menggunakan laser ini adalah pigmentasi melampau (penggelapan) kulit sekitar dan ada kalanya, berparut. Oleh itu, pertimbangkan dengan sebaiknya sebelum anda mengambil risiko sedemikian.
Dermabrasi
Ia merupakan pilihan rawatan untuk menghilangkan tanda regangan yang lebih murah, tetapi kurang efektif berbanding terapi laser. Ia memerlukan anda mendapatkan rawatan di klinik yang mempunyai kakitangan terlatih dalam teknik dermabrasi.
Secara umumnya, anda akan mengalami kesan kemerahan dan rasa sakit selepas setiap sesi, tetapi tidak keterlaluan sehingga menjejaskan aktiviti harian.
Dermaroller atau Dermastamp
Kaedah ini melibatkan teknik menggolekkan roda yang mengandungi jarum-jarum halus di atas kulit yang mempunyai tanda regangan. Nama lain bagi rawatan ini adalah skin needling. Tusukan pada kulit sehingga ke lapisan dermis dianggap dapat merangsang pertumbuhan sel-sel kulit baharu dan kolagen.
Walau bagaimanapun, anda perlu mengetahui terdapat percanggahan mengenai keberkesanan rawatan ini. Sungguhpun ia dianggap munasabah dari sudut teori, namun terdapat ketidakseragaman daripada segi hasilnya.
Plasma Kaya Platelet (PRP)
Rawatan agak baharu ini turut digunakan dalam pembedahan muka plastik. Ia merupakan rawatan yang menarik bagi ramai wanita kerana ia melibatkan penggunaan produk plasma/darah mereka sendiri dan bukan yang di sintesis atau produk tiruan.
Satu sampel darah yang diambil dari lengan anda akan diputar pada kelajuan tinggi untuk memisahkan sel-sel darah yang berlainan. Plasma kaya platelet dan fibrin akan terapung ke bahagian atas tabung uji dan akan disuntik secara langsung kepada tanda regangan. PRP dipercayai berkesan kerana ia menyokong pembentukan matriks antara sel-sel kulit dan melonjakkan penghasilan faktor pertumbuhan. Ini seterusnya menggalakkan pembentukan kolagen yang akan bertindak menegangkan kulit.
Pembedahan
Kebanyakan wanita menganggapnya sebagai kaedah penyelesaian yang agak drastik. Walau bagaimanapun, jika anda tidak lagi berkeinginan untuk melahirkan anak dan amat terkesan dengan penampilan tanda regangan anda, pembedahan mungkin suatu pilihan yang boleh anda pertimbangkan. Sering digelar sebagai “mummy tuck” atau “mummy makeover”, kaedah abdominoplasti ini melibatkan pembedahan dan memerlukan anda tinggal di wad hospital. Seorang pakar bedah plastik akan membuat beberapa insisi pada abdomen dan membuang kulit berlebihan. Setelah diregangkan dan dijahit, perut akan menjadi lebih rata dan kempis.
Bagaimana Jika Mendapatkan Semua Jenis Rawatan Tanda Regangan?
Ada kalanya, gabungan beberapa rawatan seperti krim/losen topikal dan terapi laser yang berlainan digunakan dalam rawatan tanda regangan. Hasil terbaik mungkin dapat diperoleh dengan menggunakan pendekatan rawatan pelbagai kaedah ini.
Adakah anda tahu bahawa rata-rata bayi akan memerlukan 1057 perubahan lampin dalam 6 bulan pertama? Dapatkan promosi eksklusif dan sampel lampin percuma dengan menyertai Huggies Club sekarang!
Maklumat yang terkandung di dalam laman ini hanyalah untuk tujuan perkongsian informasi sahaja dan bukan sebagai gantian kepada nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan oleh pakar. Sentiasa dapatkan nasihat daripada doktor atau pembekal penjagaan kesihatan berkelayakan untuk sebarang persoalan berkenaan keadaan perubatan. Jangan berlengah untuk dapatkan nasihat perubatan, tidak mengendahkan nasihat perubatan atau berhenti mengambil rawatan perubatan disebabkan oleh maklumat di dalam laman ini. Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang, Kimberly-Clark tiada liabiliti atau bertanggungjawab untuk tuntutan, kesilapan atau pengabaian di dalam laman ini, dan boleh meminda material pada bila-bila masa tanpa sebarang notis.